Bincangkan konsep sastera remaja


Sastera remaja, terutamanya novel merupakan antara bahan bacaan yang mampu membangunkan minda remaja sesuai dengan usia mereka yang perlu diberi kebebasan tetapi dalam keadaan terbimbing. Menurut Othman Putih 1989 dikatakan betapa sastera remaja pada dasarnya haruslah berupaya memberikan pendidikan dan hiburan pada masyarakat atau khalayak sasarannya. Justeru itu dalam sesebuah karya remaja, haruslah mempunyai upaya mengasah dan mengasuh kecerdasan penghayatan nilai-nilai kemanusiaan, kemasyarakatn dan segala sesuatu yang berhubung dengan keperluan kehidupan. Mesej yang terdapat dalam sastera remaja haruslah jelas dan dapat memberi wawasan kepada pembaca khususnya remaja.

Bagi mengisi mesej tersebut subjek dan persoalan yang dikemukakan lewat sastera remaja itu haruslah paling tidaknya bersifat informatif mengajar dan berupaya membina watak. Dengan wawasan informatif sastera remaja harus mempunyai pengenlan diri dan persekitarannya memperkaya pengalaman dan pengetahuan serta membangkitkan daya cipta. Dengan sifat mengajar bermakna sastera remaja harus dapat menabur, menanam dan mencambahkan bibit atau nilai murni yang berkaitan dengan keimanan, ketakwaan kepada Allah serta kerukunan hidup beragama sesuai dengan masyarakat kita yang pelbagai, disamping menekankan nilai-nilai kemanusiaan , rasa tanggungjawab dan cinta terhadap diri, keluarga, masyarakat, bangsa, dan tanah air. Malah kerukunan hidup bermasyarkat, kebersamaan dan keadilan juga dituntut bagi memastikan kewajaran yang terungkap dalam sastera remaja.

Berhubung dengan pembinaan watak sastera remaja dituntut supaya dapat menampilkan watak-watak teladan dan tidak mustahil yang ideal dan tentu sahaja watak-watak bercitra jujur, setia, gigih, lasak, kretif dan berfikir secara rasional serta matang. Watak-watak sedemikian pastilah yang mempunyai usaha dan upaya mengembangkan etika, logik dan estetik. Bagi memperlengkap pembinaan watak itu, maka sastera remaja juga wajar berupaya memperkaya imaginasi khalayaknya disamping memupuk kesedaran terhadap lingkungan hidup, kesihatan dan kebersihan.

Bagi mencapai mesej dan menyempurnakan subjek dan persoalan tersebut maka penulisan yang sistematik wajar diambil kira di samping faktor psikologi, pemikiran, usia, emosi, moral, bahasa dan gaya bahasa. Namun hakikat sastera remaja tentu sahaja tidak sekadar untuk menghibur dan mendidik. Unsur keseronokan, kegembiraan , didaktik dan sarat dengan nada yang gerun mungkin kurang disenangi oleh para remaja. Oleh sebab itu sastera remaja yang murni wajar memiliki daya rangsang untuk mengembangkan sensitiviti pengertian dan kebijaksanaan khalayaknya terhadap kewujudan insan dalam kehidupan serta hubung kaitnya dengan sesama insan dan masyrakat. Di samping itu keseimbangan daripada sisi tertib pengajian kehalusan dan nilai keindahannya harus dapat dipertahankan. Contohnya apabila sastera remaja dalam kategori rekaan sains yang mengutamakan disiplin sains itu sendiri dipaparkan maka sastera ini harus mempunyai upaya mengembangkan daya imaginasi dan minat terhadap perkembangan ilmu dan teknologi canggih demi kepentingan manusia seluruhnya.

Baik apa pun bentuk atau jenis cerita kanak-kanak, tertib pengajian penulisannya sewajarnya mencerminkan pertimbangan yang logik dan estetik antara unsur-unsur yang membina struktur genrenya. Sastera remaja haruslah kaya dengan segala sisi seperti mempunyai unsur kemanusiaan, nilai ketakwaan, cenderung ka arah kebijaksanaan, mempunyai wawasan dan perspektif yang jelas, positif dan ceria. Justeru itu sastera remaja bukanlah paparan bayangan secara polos tentang perlakuan moral, seks, pesimis, menyerah, fatal, keganasan dan segala macam perilaku yang bertentangan dengan norma masyarakat dan cara atau gaya hidup beragama. Sastera remaja yang diperlukan itu boleh disalurkan dengan halus, indah dan bijaksana melalui pelbagai kelompok cerita tentang pengembaraan, penyiasatan, pemantapan identiti, keluarga, persahabatan, misteri, cerita sains, fantasi, super natural, sejarah, biografi, dan pelbagai cerita realiti.

Dalam sastera remaja haruslah diselitkan tema yang bersesuaian dengan perkembangan pemikiran remaja. Tema merupakan inti penceritaan dan persoalan yang mengusaia sesebuah karya. Melihat tema dalam sesebuah karya sastera akan memperlihatkan konsep pemikiran seseorang pengarang itu dalam mencatatkan sesuatu peristiwa atau kejadian yang dianggap peting, besar dan penuh makna. Sama ada pada zamannya, zaman lampau dan zaman akan datang tentang manusia dan fenomenanya. Melihat tema dan persoalan dalam sastera remaja, terutama genre novel, perbincangan tema untuk novel remaja terbahagi kepada tema percintaan, kekeluargaan, persahabatan, keagamaan, kemasyarakatn dan perjuangan. Tema percintaan merupakan tema yang paling banyak diperkatakan dalam novel remaja, sesuai dengan perkembangan psikologi remaja yang sudah mempunyai keinginan dan perasaan kepada remaja berlainan jenis. Remaja sudah mahu dikasihi dan mahu mengasihi lalu ramai dalam kalangan pengkarya menjadikan cinta sebagai tema utama dalam pembentukan konflik dalam novel remaja. Walaubagaimanapun tema percintaan yang dikemukakan haruslah disampaikan dengan tulus, jujur dan ikhlas tanpa merosakkan pemikiran dan tingkah laku pembaca remaja. Pengakuan dan pengiktirafan perasaan remaja tehadap dunia percintaan harus disemai secara tulus dan murni tanpa menjejaskan nilai-nilai keremajaan.

Kesimpulannya karya sastera remaja tidak akan wujud sendiri. Sastera remaja juga terbina hasil gabungan dan kesepaduan beberapa unsur termasuk plot, tema, latar, watak dan perwatakan serta sudut pandangan dan gaya bahasa. Kemahiran dan penilitian pengkarya sastera remaja akan membentuk sesebuah novel remaja yang bermutu indah dan berkesan. Sesebuah karya sastera remaja bukan sekadar ekspresi sosial. Kepercayaan idea politik dan penelitian teks secara dekat serta menyeluruh malah sebagai salah satu karya seni yang amat tinggi nilainya.



Aku pun tak pasti kebenaran dan betul atau tidak jawapan aku ni. Yang aku tau besok aku nak hantar! :)


Comments

Popular posts from this blog

Teka-teki dan Jawapan

Pantun dua kerat 30

Selesai SUMASA